CELIK BAHASA MELAYU

CELIK BAHASA MELAYU

PENULISAN BAHAGIAN B

KARANGAN FORMAT BERITA

KOTA KINABALU, 4 Mei – Sepuluh buah rumah papan musnah sama sekali dan lima yang lain kehilangan bumbungnya kerana dilanda ribut kencang. Ribut itu melanda Kampung  Kepayang dengan tiba-tiba selama lima belas minit.
      Kejadian itu bermula pada pukul 4.00 petang semalam. Tidak ada  kemalangan jiwa dilaporkan tetapi seorang warga emas berusia 65 tahun, Minah Ahmad cedera parah kerana ditimpa tiang seri rumahnya yang runtuh.
      Lima belas minit selepas ribut reda, Datuk Malik, ketua kampung itu tiba di tempat kejadian. Pegawai Kesihatan Daerah serta Pegawai Daerah datang bersama-sama ke tempat kejadian. Mereka berjanji akan berusaha memberi bantuan kepada mangsa-mangsa mala petaka itu. Mereka yang kehilangan rumah telah ditempatkan  di balai raya atau menumpang di rumah saudara-mara mereka.
      Yang Berhormat Ketua Menteri  Sabah tiba pada pukul  4.35 petang. Beliau berjanji akan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa untuk membolehkan mereka membina semula rumah  yang telah rosak teruk itu.




KARANGAN LAPORAN


LAPORAN TAHUNAN KELAB  SENI DAN MUZIK
SEKOLAH KEBANGSAAN SERI MERSING

            Guru penasihat             :           Encik Azmin b. Azman
            Pengerusi                     :           Amirul b. Sahak
            Naib Pengerusi             :           Zahariah bt. Mohamad
            Setiausaha                    :           Mashitah Bt Ismail
            Bendahari                     :           Suzana b. Budin
            Ahli Jawatankuasa        :           Fakhrul Izhan b.Hanif
                                                              Wardina bt. Wan Husin

              Kelab Seni dan Muzik sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 2002. Seramai 70 orang murid yang menyertainya pada peringkat awal penubuhannya.Selepas itu, keahliannya semakin bertambah dari setahun ke setahun. Kini kelab ini mempunyai ahli seramai 150 murid tahap dua.
            Setiap ahli kelab ini dikenakan yuran tahunan sebanyak RM5 . Tujuan ditubuhkan kelab ini adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid mengenali beberapa jenis alat muzik dan boleh menggunakan alat-alat muzik tersebut. Selain itu, melalui aktiviti yang dijalankan oleh kelab ini, murid-murid dapat menunjukkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam bidang muzik dan seni lukis. Mereka juga berpeluang menyertai pelbagai pertandingan yang berkaitan.
            Sepanjang tahun 2006, ahli-ahli jawatankuasa telah merancang dan melaksanakan beberapa aktiviti yang menarik untuk ahli-ahlinya. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun itu ialah pertandingan melukis, Malam Bakat Pelajar, kelas melukis, pertandingan mencipta logo dan sebagainya.
             Ada juga antara ahli-ahlinya yang telah menyertai pertandingan melukis yang diadakan di peringkat daerah dan peringkat negeri.Salah seorang daripadanya ialah   Hamka bin Fauzi. Dia telah berjaya mendapat tempat kedua semasa menyertai pertandingan melukis sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
            Pada cuti semester pertama, seramai 40 orang ahlinya yang diiringi oleh empat orang guru telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Semasa program lawatan itu, mereka telah berpeluang ke Balai Seni Lukis Negara, Putrajaya dan Stesen Penyiaran Radio dan  Televisyen Malaysia. Banyak pengetahuan yang mereka perolehi semasa lawatan ini.                      
            Diharap pada tahun hadapan, kelab ini akan terus aktif dan dapat menambahkan bilangan ahlinya.
Disediakan oleh,                                                                                 30 OKTOBER 2006.
   
Mashitah

(MASHITAH BT ISMAIL)
Setiausaha,
Kelab Seni dan Muzik,
SK Seri Mersing.



                                                                                                        No 16 Jalan Budiman
                                                                                                        Kuala Berang 21700
                                                                                                        Hulu Terengganu

                  5 Mei 2003.


            Ke hadapan sahabatku yang diingati selalu, Nurul Ain yang kini berada di Pandan Jaya, semoga sihat sejahtera.
Saudari,
            Surat saudari telah selamat saya terima. Terima kasih  kerana saudari masih mengingati saya. Dalam surat saudari yang lepas, saudari bertanyakan  persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Sememangnya saya telah membuat persediaan lebih awal  kerana tidak mahu menyesal kemudian hari. Kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan. 
Langkah pertama yang saya lakukan ialah menyediakan  jadual waktu belajar di rumah. Saya menetapkan masa untuk  membuat kerja kerja rumah dan masa untuk mengulang kaji  setiap mata pelajaran. Dengan cara ini saya dapat belajar dengan lebih teratur dan sistematik. Selain itu, saya mengikuti kelas bimbingan yang diadakan  oleh guru-guru pada waktu petang dan pada hujung minggu.
           Saya kerap juga bertukar-tukar nota dan kertas soalan  peperiksaan dengan sepupu saya yang bersekolah di Kuala Lumpur. Baru-baru ini pihak bimbingan dan kaunseling sekolah telah  mengadakan seminar dan kem motivasi untuk calon-calon  UPSR. Kami banyak mendapat pendedahan tentang cara-cara  belajar yang betul. Saya berharap kita akan dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaaan UPSR nanti. Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudari  sekeluarga.
                                                                                                                      
                               Sahabatmu,
                                                                                                                      ahmad daniel.
                                                                                                                  (AHMAD DANIEL)




KESALAHAN DAN KELEMAHAN YANG SERING DILAKUKAN OLEH MURID

Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh murid  semasa menulis karangan ialah:
1. Jawapan tidak menepati kehendak tajuk atau soalan.
    - ini bermakna karangan anda telah terpesong atau  terkeluar tajuk.
2. Kesalahan penggunaan bahasa.
    - khususnya di dalam penggunaan  imbuhan. Murid lemah dalam  perbendaharaan      
     kata.
3. Kesalahan struktur ayat.
   -binaan ayat jangan terlalu panjang dan jangan pula terlalu ringkas. gunakan ayat
    selapis, padat dan mudah
4. Kesalahan menghuraikan isi.
   -karangan yang baik perlu mendahulukan  isi yang utama kemudian diikuti pula oleh  
    isi-isi kurang penting. Setiap perenggan mempunyai satu isi, huraian isi dan contoh
    sebagai bukti huraian.
5. Kesalahan tanda baca.
    -kesalahan tanda baca seperti HURUF BESAR, noktah, koma dan tanda sempang.


No comments:

Post a Comment